Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:
1.
Menyempatkan diri
beribadah-Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya
dalam hadis qudsi:
"Wahai anak Adam,
sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup
kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan
kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu
Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
2.
Memperbanyak
istighfar-Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan
Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu
Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang siapa
memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya,
menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak
disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari
Abdullah bin Abbas r.a.)
3.
Tinggalkan perbuatan
dosa-Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja
membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya
rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
4.
Sentiasa ingat Allah
-Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki
yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
“(yaitu) orang-orang beriman dan hati mereka
menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati
Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
5.
Berbakti dan mendoakan
ibu bapa-Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa
yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu
bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada
ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.”
(Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga
menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:“Apabila hamba
itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki
(Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6.
Berbuat baik dan
menolong orang yang lemah-Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah
menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir
miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:“Tidaklah
kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di
kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7.
Tunaikan hajat orang
lain-Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk
tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:“Siapa yang menunaikan
hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)
8.
Banyak berselawat-Ada
hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai
kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran
serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu
a’lam.
9.
Buat kebajikan
banyak-banyak -Ibnu Abbas berkata:“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya
kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang
lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati,
melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10.
Berpagi-pagi -Menurut
Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai
solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11.
Menjalin
silaturrahim-Nabi s.a.w. bersabda:“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan
dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat
Bukhari)
12.
Melazimi kekal
berwuduk-Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman
mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda
s.a.w. bersabda:“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya
Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13.
Bersedekah-Sedekah
mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w.
bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki
hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap
hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang
lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya
Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
14.
Melazimi solat malam
(tahajud)-Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh
rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya
dimakbulkan Allah .
15.
Melazimi solat
Dhuha-Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan
dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam
hadis qudsi:“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat
rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan
keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16.
Bersyukur kepada Allah
-Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya
adalah kufur nikmat. Allah berfirman:“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur,
nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur,
sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “… dan Kami
akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17.
Mengamalkan zikir dan
bacaan ayat Quran tertentu-Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna
selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat
khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama,
diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat
terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali
setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan
kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah ,
al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu
rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah”
berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu,
bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis
menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan
ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18.
Berdoa-Berdoa menjadikan
seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat
dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya,
nescaya Dia akan perkenankan.
19.
Berikhtiar
sehabisnya-Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis
sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan
yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang
dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman,
tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki
dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat
anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya
pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia
sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan
sebagainya.
20.
Bertawakal-Dengan
tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:“Barang
siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).”
(At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
“Seandainya kamu
bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi
rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah
kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari
Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebut di
atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan
beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya
rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)Pendek kata,
bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya
adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya
kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan
rasa kaya dengan pemberianNYA.
0 comments:
Posting Komentar